IPOH: Kerajaan Negeri Perak mewujudkan Pasukan Petugas Pengauditan Penubuhan Taska Tempat Kerja sebagai langkah menggalakkan pengoperasian taska di tempat kerja sektor awam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed berkata inisiatif itu menyasarkan semua pejabat kerajaan di seluruh negeri ini meliputi pejabat daerah dan tanah, majlis daerah, perbadanan, institusi pengajian tinggi dan hospital kerajaan.

"Surat makluman mengenai perkara ini telah diedarkan ke semua jabatan kerajaan bersama-sama Borang Maklumat Penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak Tempat Kerja Sektor Awam maka saya menyeru kepada ketua-ketua jabatan, khususnya Pejabat Daerah dan Tanah, Majlis Daerah dan Jabatan-Jabatan Negeri untuk melihat perkara ini.

"Mulai 2024 pihak kerajaan negeri akan menggerakkan pasukan petugas ini dengan lebih agresif supaya taska dapat diwujudkan di pejabat-pejabat utama. Ia demi keselamatan anak-anak dan paling penting memberi kelegaan kepada ibu bapa bekerja," katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Salbiah (BN-Temengor) menjawab soalan S. Wasanthee (PH-Hutan Melintang) yang ingin tahu jumlah kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak di Perak untuk tiga tahun dan adakah kerajaan negeri menyediakan sebarang insentif untuk menggalakkan penubuhan pusat jagaan kanak-kanak taska dan tadika di kilang, jabatan dan premis beli-belah.

Beliau berkata bagi menggalakkan penubuhan taska di kilang dan premis beli-belah, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengadakan kempen dan sesi penerangan melalui kempen Jom Daftar TASKA.

"Melalui kempen ini, pihak pengurusan kilang atau pasar raya akan dimaklumkan mengenai kriteria dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum memulakan operasi penubuhan taska di tempat kerja.

"Melalui penerangan ini juga pihak pengurusan terlibat akan diberi penerangan, hanya taska yang berdaftar sahaja layak diiktiraf sebagai selamat bagi menghantar anak-anak untuk diasuh," katanya.

Sementara itu katanya pada 2020, terdapat sebanyak 332 kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak direkodkan di Perak disusuli peningkatan pada 2021 dengan 370 kes.

Bagaimanapun, katanya terdapat peningkatan mendadak pada tahun lepas dengan 532 kes, namun berlaku penurunan signifikan iaitu sebanyak 168 kes sahaja direkod tahun ini sehingga 30 Nov lepas.

Katanya, peningkatan mendadak berlaku pada 2021 dan 2022 yang merupakan tahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 adalah disebabkan tekanan dan kesulitan hidup yang memaksa rakyat berkurung di rumah dan kanak-kanak turut dijadikan mangsa.

-- BERNAMA